I made this widget at MyFlashFetish.com.

Saturday, December 11, 2010

Kisah IBLIS menghadap Nabi Muhammad S.A.W - (2)

Soal Nabi : "Hai Iblis! Apa pula yang terlebih dahulu engkau menipu segala manusia?" Maka sembah Iblis : "Pertama-tama aku palingkan imannya supaya berpaling iktikadnya kepada kafir samada pada perkataan atau perbuatannya, kelakuannya, atau hatinya. Maka jika tiada berpaling juga dengan cara begitu, maka aku tarik pula kepada jalan yang mengurangkan pahalanya supaya lama-kelamaan mereka akan terjerumus juga mengikut kemahuan aku."

   Soal Nabi : "Jikalau umatku membaca Quran dengan kerana Allah, apakah engkau rasa?" Maka sembah Iblis : "Jika mereka membaca Quran kerana Allah maka terbakarlah rasa tubuh aku dan putus-putus segala urat aku maka larilah aku daripadanya." 


   Soal Nabi : "Hai Iblis! Jika umatku mengerjakan haji dengan kerana Allah, apakah engkau rasa?" Maka sembah Iblis : "Telah binasalah diri aku dan gugurlah segala daging tulang hamba kerana mereka itu mencukupkan rukunnya."


   Soal Nabi : "Siapa pula serupa dengan engkau?" Maka sembah Iblis : "Iaitu orang yang meringankan syariat tuanhamba dan yang membenci orang-orang belajar agama Islam."

   Soal Nabi : "Siapa pula yang mencahayakan muka engkau?" Maka sembah Iblis : "Iaitu orang yang berdosa dan bersumpah bohong dan saksi bohong dan menyalahi janji."

   Soal Nabi : "Apa pula rahsia engkau kepada umatku?" Maka sembah Iblis : "Jika seorang Islam hendak pergi buang air besar (ke jamban), jika tiada membaca doa pelindungan syaitan kepada Allah Taala, nescaya aku gosokkan najis itu kepada tubuhnya dengan tiada ia sedari sekali-kali."

 Wallahu 'alam


  

Kisah IBLIS menghadap Nabi Muhammad S.A.W - (1)

   Allah Subhaanahu Wataala telah memerintah seorang Malaikat supaya pergi kepada Raja Iblis syaitan alaihi laknat menyuruhkan dia mengadap hadrat Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam mengkhabarkan segala jenis rahsia yang disukainya dan sekalian yang dibencinya. Adapun hikmat yang demikian ini ialah kerana membesarkan ketinggian darjat Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam dan juga supaya menjadi sutu peringatan di atas sekalian kita umat Nabi Muhammad. Maka Malaikat itu pun datanglah ke hadapan Iblis, katanya : "Hai Iblis! Bahawa Tuhan Yang Maha Mulia lagi Maha Besar menyuruhkan engkau mengadap hadrat Rasulullah hendaklah engkau bukakan segala rahsiamu dan apa-apa yang disoal oleh Nabi Muhammad itu hendaklah engkau jawab dengan benar. Jika engkau berdusta walau satu perkataan sekalipun, nescaya diputuskan segala suku-suku daripada anggotamu dan segala uratmu serta disiksakan engkau dengan azab yang amat keras."

   Syahadan deni Iblis mendengar perkataan Malaikat itu sangat dahsyat rasanya maka segeralah ianya mengadap hadrat Nabi Muhammad dengan menyerupai seperti seorang tua yang buta sebelah matanya dan berjanggut putih banyaknya 10 helai dan panjangnya seperti ekor lembu serta ianya memberi salam dengan takzimnya hingga 3 kali tidak juga dijawab oleh Rasulullah. Maka sembah Iblis : "Ya Rasulullah! Mengapakah Tuanhamba tidak menjawab akan salam aku kerana bukankah salam itu sangat mulia di sisi Tuhan?"

   Maka jawab Nabi dengan marahnya : "Hai 'aduwullah seteru Tuhan! Kepada akukah engkau menunjukkan makarmu! Berpatutanlah muka engkau dengan halmu itu engkau hendak tipu akan daku sebagaimana yang telah engkau tipu Nabi Adam a.s. keluar dari syurga dan Habil mati teraniaya dibunuh oleh Qabil dengan sebab hasutan engkau dan Nabi Allah Ayub a.s. engkau tiup dengan asap racun pada masa ia sedang sujud di dalam solatnya hingga beberapa lamanya ia menanggung sengsara oleh perbuatan engkau. Dan kisah Nabi Daud dengan perempuan pahlawan Urya dan Nabi Sulaiman meninggalkan isterinya lalu engkau menyerupakan seperti isterinya lalu engkau larikan cincinnya ; demikian jua beberapa Anbiya dan pendita-pendita yang telah menanggung sengsara dan aniaya oleh perbuatanmu yang khianat. Hai Iblis! Sebenarnya salam itu sangat mulia pada Tuhan azza wajalla, hanya salam engkau itu sahaja aku tidak hendak menjawab kerana telah diharamkan oleh Tuhan dan engkau ini kena laknat serta ditentukannya engkau dalam nurka yang sangat keras bagi menyiksakannya dirimu, maka aku kenal baik-baik bahawa engkaulah Iblis raja segala syaitan yang menyamarkan diri. Apakah kehendak engkau datang mendapatkan aku ini?"

   Maka sembah Iblis : "Ya Nabi Allah! Janganlah tuanhamba marah. Demi sebenarnyalah tuanhamba khatamin nabiyyin walmursaliin dan kekasih Allah Taala maka dapat tuanhamba kenal akan aku. Ya Nabi Allah! Adalah kedatangan aku ke mari ini ialah dengan izin Tuhan jua telah mendatangkan seorang Malaikat menyuruh aku mengadap hadrat tuanhamba supaya tuanhamba tanya apa jua sesuatu hal-ehwal umat-umat tuanhamba sedialah aku khabarkan dengan terusterang daripada segala tipudaya aku di atas sekalian manusia daripada zaman Nabi Adam hingga kepada zaman kemudian daripada tuanhamba iaitu aku goda kepada beberapa banyak simpang dan jalan yang sesat supaya binasa mereka itu dengan tipudaya aku yang amat halus. Ya Nabi Allah! Kiranya aku berdusta barang sepatah kata sekalipun nescaya hancur-leburlah diri aku terbakar menjadi abu."

   Syahadan manakala Nabi Muhammad mendengar sembah Raja Iblis dan sumpahnya maka baginda pun tersenyum dengan sukacitanya seraya berkata di hatinya, inilah satu peluang dapat aku menyiasat segala perbuatannya supaya didengar oleh sekalian sahabatku yang hadir di majlis ini dan jua supaya menjadi suatu senjata kepada sekalian umatku hingga kemudian hari kelak.

Nabi Idris Menikam Mata Iblis

   Pada suatu hari sedang Nabi Idris a.s. duduk menjahit bajunya, sekonyong-konyong terdiri di hadapan pintu rumahnya seorang lelaki dengan memegang di tangannya sebutir telur. Katanya : "Ya Nabi Allah Idris! Bolehkah Tuhanmu memasukkan dunia ini ke dalam telur ini?" Maka Nabi Idris pun memandang lelaki itu lalu dikenalnya ialah seteru Allah Iblis alaihil-laknat.

   Maka kata Nabi Idris a.s. : "Marilah dekat aku, tanyalah apa yang engkau kehendaki." Maka Raja Iblis itupun datang dekat sisinya, katanya : "Ya Nabi Allah Idris! Bolehkah Tuhanmu memasukkan dunia ini ke dalam telur ini?" Maka sahut Nabi Idris : "Jangankan memasukkan dunia ini ke dalam telus yang sebesar ini bahkan ke dalam jarum aku sekecil inipun Tuhanku sangat berkuasa memasukkan dunia ke dalamnya," lalu dengan pantas Nabi Idris a.s. pun menikam mata Raja Iblis itu dengan jarum. Maka Raja Iblis pun terperanjat dengan kesakitan lalu lari membawa diri dengan menerima tanda tangan Nabi Idris buta sebelah matanya hingga tibalah kebangkitan Junjungan kita dan kekasih Allah Nabi Muhammad sallallaahu alaihi wasallam.

Obsessive-Compulsive Disorder (OCD)


Satu cara syaitan menyesatkan manusia adalah menimbulkan rasa waswas atau ragu-ragu ke dalam hati manusia dalam menyembah Allah.

   Rasa waswas atau ragu-ragu ini disebut dengan istilah saintifik sebagai Obsessive-Compulsive Disorder (OCD). OCD membawa makna, sesuatu yang dicirikan oleh fikiran dan imej yang tidak dikehendaki sehingga menimbulkan kebimbangan yang melampau. Contoh mudah dalam masyarakat adalah rasa ragu sama ada wuduk yang diambil sah ataupun tidak, serta ragu tentang bilangan rakaat dalam sembahyang.

   Lebih dahsyat daripada semua itu, syaitan turut membisikkan keraguan dalam soal kepercayaan kepada Tuhan dan rukun iman yang lain. Antaranya syaitan menimbulkan pertanyaan seperti :

~ Benarkah Allah wujud? Sekiranya wujud, di mana Allah?

~ Benarkah al-Quran itu wahyu daripada Allah dan bukannya karangan Nabi Muhammad?

~ Benarkah kita mesti mendirikan sembahyang? Mengapa pula bilangan rakaat bagi setiap sembahyang berbeza-beza?

~ Benarkah Nabi Muhammad itu rasul terakhir? Mengapa generasi selepas Nabi Muhammad tidak layak dilantik sebagai rasul?


Pendek kata, orang yang mengalami OCD begitu obses pada sesuatu perkara. Contohnya, dia begitu obses dengan wuduk sehingga basah kuyup pakaiannya lantaran mengambil wuduk berulang-ulang kali.


*Al-Khannas dalam kalangan syaitan berlalu pergi apabila insan mengingati Allah dan ia datang apabila Allah dilupakan. Ternyata, gangguan syaitan bergantung pada hati individu. Hati yang tidak mengingati Allah menjadi sasaran serangan al-Khannas. Sebaliknya, hati yang khusyuk dalam mengingati Allah ditakuti oleh al-Khannas.

Sunday, December 5, 2010

Dibelasah kerana Mendirikan Solat

Ini kisah orang yang mampu memotong talian yang menjauhkan diri daripada Rahmat Allah, biarpun berhadapan dengan kesukaran.

Hamdi (bukan nama sebenar) adalah seorang warga Nepal yang bekerja sebagai buruh di negara ini. Hamdi memeluk agama Islam sesudah mendapat petunjuk daripada Allah.

   Walau bagaimanapun, tindakan Hamdi tidak disenangi oleh rakan-rakan senegaranya yang beragama Hindu. Hampir 20 orang rakan senegara yang tinggal bersamanya, bertindak mencerca dan memerlinya. Keadaan itu menyebabkan Hamdi tidak berani menzahirkan buku asas belajar al-Quran yang ada padanya. Buku itu disembunyikan di dalam bajunya setiap kali dia tidur.

   Selepas tahu mengerjakan solat, Hamdi mula mendirikan solat secara sembunyi-sembunyi. Namun kadangkala ada juga rakan serumah yang terserampak dengannya ketika dia sedang mendirikan sembahyang. Akibatnya, punggungnya ditunjal dan disepak.
   
   Pada suatu hari, ketika berada di kilang tempat kerjanya, Hamdi diperli lagi. Hamdi yang selama ini hanya mendiamkan diri, kali ini menjawab dengan berani, "Saya tidak pernah mengganggu awak dan agama awak!".

   Kata-kata Hamdi itu menyalakan api kemarahan dalam diri lawannya itu. Hamdi ditumbuk dan dibelasah beramai-ramai. Mujurlah Hamdi berjaya melepaskan diri. Apabila peristiwa itu tiba ke pengetahuan pihak pengurusan kilang, Hamdi dan rakan-rakannya dipanggil. Mereka diberi kata dua, sama ada terus bekerja ataupun dihantar pulang ke negeri asal.

   Hamdi pula diberi perangsang oleh ahli-ahli jemaah surau berhampiran tempat tinggalnya. Mereka menguatkan semangat Hamdi supaya terus komited mengerjakan solat biarkan berhadapan dengan ancaman. 

Sekilas, 

Ternyata sekiranya mahu berjaya dalam kerjaya, sembahyang tidak boleh diabaikan. Pendek kata, sekiranya hendak berjaya, perintah Allah mesti diutamakan

"Buat sesuatu dengan bersungguh-sungguh dan selebihnya berserah kepada Allah. Tetapi setiap perkara yang dibuat mesti disertai dengan niat yang betul. Jangan sekali-kali meninggalkan solat lima waktu kerana solat adalah tunjang hidup. Jangan lupa bersedekah dan jangan abaikan kedua ibu bapa"
Falsafah Ali Hassan Mohd Hassan
Pengarah Urusan al-Ikhsan Sports Sdn. Bhd

Filem Seram dan Mesra Magis


Filem seram dan tahyul kini menjadi genre filem yang semakin diminati
ramai. Filem-filem yang memaparkan watak bomoh sesat dengan
unsur-unsur khurafat itu dianggap oleh pengeluar filem sebagai hiburan
semata-mata. Malangnya penonton tidak difahamkan tentang unsur-unsur
yang bertentangan dengan agama Islam. Maka jadilah filem seperti itu
salah satu daripada jerat-jerat syaitan ke atas manusia.
Dalam filem seram yang dibikin oleh orang bukan Islam, lebih banyak
unsur-unsur tahyul dipaparkan. Unsur-unsur ini menimbulkan kekeliruan
kepada penonton dan mampu merosakkan kepercayaan mereka
kepada tuhan. Contoh ketara adalah filem Harry Potter. Dalam filem
ini, diwujudkan dua bentuk sihir iaitu sihir baik dan jahat.
Prof. Albus Dumbledore dianggap tukang sihir yang baik. Nampaknya
penonton bukan sekadar mahu disesatkan secara tidak langsung, 
malah diperbodohkan! Kawan-kawan Harry Potter sebahagiannya
adalah hantu. Satu daripadanya adalah Moaning Myrtle, 


hantu
kanak-kanak perempuan yang tinggal dalam tandas perempuan di sekolah
Hogwarts. Harry selalu menemuinya bagi mendapatkan nasihat dan
pandangan dalam menyelesaikan masalah misteri. Inikah yang kita mahukan,
supaya anak-anak kita bersahabat dengan hantu syaitan?

Allah Lebih Perkasa






Allah maha kuat dan maha perkasa. Iblis dan syaitan hanya makhluknya yang lemah. Kekuasaan iblis dan syaitan tertakluk pada kekuasaan Allah.

   Nama-nama Allah seperti al-Qahhar bererti 'yang menundukkan', al-Qayyum bererti 'berdiri dengan sendirinya', dan Zul-Jalali wal-Ikram yang bererti 'maha pemilik keagungan dan kemuliaan', menggambarkan kekuatan dan keperkasaan Allah.
Tidak ada kuasa yang melebihi kekuasaan dan keperkasaan Allah. Oleh yang demikian, hanya kepada Allah kita meminta perlindungan.

   Tidak seharusnya kita terpengaruh dengan perkara-perkara tahyul yang diamalkan oleh kaum-kaum tertentu. Misalnya,

Orang Cina : Menampal kertas mantera pada dahi puntianak supaya puntianak itu tidak mengganggu manusia. 

Orang Kristian : Menundukkan hantu menggunakan tiang salib, kononnya tiang salib memiliki kuasa sehebat kuasa Tuhan.

Demikian juga dengan kepercayaan kepada bomoh yang membuat tangkal dan meramal nasib, sehingga menafikan Allah sebagai tempat berlindung.

Dalam dunia siber, kepercayaan kepada kuasa selain Allah berlaku tanpa disedari. Misalnya, percaya kepada nasib baik dan buruk yang disebabkan oleh surat berantai. Ancaman diberi seperti, "Datuk Q tidak memanjangkan e-mel ini. Selang sehari sewaktu dia memandu ke V, kenderaannya terbabas lalu terhumban ke dalam jurang yang dalam. Dia akhirnya mengalami lumpuh kekal dan meninggal dunia setahun kemudian."

   Kita percaya, menemui pak nujum adalah perkara yang dilarang dan boleh membawa kepada syirik. Namun, mengapa kita temui pak nujum siber seperti ramalan dalam Facebook, Myspace, Friendster dan sebagainya? Malah kita sebarkan pula ramalan nasib kita kepada orang lain. Dalam soal akidah tidak timbul soal 'main-main' atau 'saja-saja'.

Saturday, December 4, 2010

Ketika Remang Senja


Syaitan tidak mahu manusia menyembah Allah. Pelbagai cara dilakukan oleh syaitan bagi melengah-lengahkan manusia daripada mengingati Allah. Antara waktu kesukaan syaitan bagi melengah-lengahkan manusia ialah waktu senja.
   Waktu senja adalah waktu syaitan berpesta. Pada waktu ini syaitan membisikkan rasa seronok ke dalam hati manusia supaya keluar rumah. Syaitan mendorong manusia turut sama berpesta di luar rumah seperti pergi ke pasar-pasar ataupun berkumpul bersama jiran dan kawan-kawan sambil berbual-bual. Dengan cara itu, manusia menjadi lalai daripada mengerjakan sembahyang Maghrib yang tempoh waktunya sangat singkat.
   Nabi Muhammad tidak menggalakkan umatnya keluar rumah pada waktu senja melainkan bagi tujuan yang tertentu seperti pergi ke masjid atau tempat kerja. Beliau melarang kanak-kanak berada di luar rumah pada waktu senja kerana dibimbangi syaitan mengganggunya. Malah semua pintu dan tingkap rumah hendaklah ditutup.

Fikir-fikirkan,
Pada waktu ini, sebaik-baiknya kita bersiap-siap bagi mendirikan sembahyang Maghrib. Waktu bagi mendirikan solat maghrib terlalu pendek, takut-takut kita terlepas menunaikannya. Sekiranya terpaksa keluar rumah disebabkan sesuatu urusan, berusahalah mencari masjid atau surau bagi mendirikan sembahyang.

Wallahu 'alam

Siapa Kami?

Iblis sudah wujud sebelum Allah menjadikan Nabi Adam. Pada masa itu, iblis adalah makhluk yang taat kepada Allah. Iblis digelar azazil. Azazil mempunyai wajah yang indah dan bercahaya.
   Sesudah Allah menjadikan Adam, Allah menyuruh Azazil dan para malaikat sujud kepada Adam bagi menghormati ciptaannya yang mulia. Tetapi Azazil enggan sujud. Azazil merasakan dirinya lebih mulia daripada Adam kerana ia dijadikan daripada api sedangkan Adam dijadikan daripada tanah. Lantaran kesombongannya itu, Allah marah kepadanya. Allah menghalaunya keluar dari syurga dan mengubah wajahnya kepada rupa hodoh lagi menakutkan. Azazil kemudian digelar iblis, yang membawa maksud suka memberontak atau derhaka.
   Iblis kemudian meminta supaya Allah memanjangkan umurnya sehingga hari kiamat, demi menyesatkan seluruh manusia. Allah menceritakan hal ini dalam surah Sad ayat ke-79. Kata iblis, "Wahai Tuhanku. Jika demikian, berilah tempoh kepadaku sehingga ke hari mereka dibangkitkan (hari kiamat)."
Lalu Allah mengizinkannya.

Keturunan Iblis

Menurut Ibnu Qayyim al-Jauziyah, iblis berkembang biak menghasilkan lima jenis keturunan, iaitu :

~Tsabar
  Kerjanya menimbulkan keluh-kesah ke dalam hati orang yang ditimpa musibah sehingga orang itu tergamak menyalahkan Tuhan.
~Dasim
  Kerjanya menimbulkan rasa cemburu yang melampau ke dalam hati suami dan isteri sehingga mereka bercerai-berai.
~Al-A'war
  Kerjanya menghasut manusia supaya berzina. Misalnya, mendorong wanita berpakaian seksi dan mendorong pemuda dan gadis berdua-duaan sehingga timbul keinginan antara kedua-duanya melakukan zina.
~Miswath
  Kerjanya membisikkan cerita bohong dan meniup rasa buruk sangka ke dalam hati manusia. Miswath juga menghasut manusia supaya menyebarkan fitnah.
~Zaknabur
  Zaknabur menyuntik rasa seronok ke dalam hati manusia berada di pasar dan pusat beli belah. Kesannya, ramai orang suka menghabiskan masa yang lamadi sana, malah sebahagiannya pergi ke sana tanpa sebarang tujuan.

Kejadian Syaitan

Syaitan boleh dianggap sebagai anak pinak ataupun tentera iblis.Syaitan terdiri dalam kalangan jin dan manusia sebagaimana yang Allah beritahu dalam surah an-Nas.
   Dalam satu hadis yang direkodkan oleh Ahmad, Nabi Muhammad berkata,
"Wahai Abu Zar, mohonlah perlindungan kepada Allah daripada kejahatan
syaitan manusia dan jin." Kata Abu Zar, "Aku bertanya kepadanya (Nabi
Muhammad), wujudkah syaitan manusia?" Jawab beliau, "Ya." 

Dalam surah an-Nas, Allah menggunakan perkataan al-Khannas yang merujuk kepada syaitan daripada kalangan jin dan manusia. Al-Khannas dimaksudkan sebagai pengintip atau pengintai yang sentiasa mencari peluang bagi menyerang seseorang. 

Syaitan dalam Diri Manusia

Dalam diri setiap manusia ada daripada golongan jin dan syaitan. Jin ini dipanggil 'qarin' bermaksud teman. Qarin menyerupai fizikal dan perangai teman manusianya. Qarin menjadi teman sejati manusia apabila manusia berpaling daripada ajaran Allah. Allah menjelaskan hal ini dalam al-Quran, surah az-Zukhruf ayat ke-36
   Nabi Muhammad turut mempunyai qarin. Walau bagaimanapun, qarin Nabi Muhammad ditundukkan oleh Allah sehingga ia tidak memberi sebarang mudarat kepada beliau. Nabi Muhammad menerangkan hal ini kepada Aisyah, 

"Sudah datang kepadamu syaitanmu." Aisyah bertanya, "Wahai Rasulullah,
apakah dalam dirimu ini ada syaitan?"
Nabi Muhammad menjawab, "Ya, benar. Pada diri setiap manusia ada
syaitan penggodanya."
"Bagaimana denganmu?" tanya Aisyah.
Kata Nabi Muhammad, "Pada diriku pun ada syaitan, tetapi Allah sudah
menundukkannya sehingga syaitan itu pun menyerah."

(Hadis sahih direkodkan oleh Muslim)

Para sarjana Islam pernah membincangkan mengenai kehadiran roh-roh atau rasukan roh ke dalam tubuh orang yang hidup. Mereka memberitahu, rasukan bukanlah disebabkan oleh roh-roh orang yang sudah mati, sebaliknya dilakukan oleh qarin si mati. Qarin mampu mempelajari dengan cepat perangai seseorang termasuk nada suara, bahasa dan loghat.
   Sesuatu yang diseru dalam permainan ouija board juga bukanlah roh. Roh orang mati berada di alam barzakh dan tidak mampu melakukan apa-apa ke atas orang yang masih hidup.

Fikir-fikirkan,
Allah menyebut berulang-ulang kali kejahatan iblis dan syaitan dalam al-Quran, supaya manusia tidak terpedaya dengan tipu dayanya. Perkataan 'iblis' disebut sebanyak 11 kali, perkataan 'syaitan' sebanyak 70 kali dan 'syayatin' (banyak syaitan) sebanyak 18 kali. Manakala kisah iblis yang derhaka dan enggan sujud kepada Adam disebut pada beberapa tempat dalam al-Quran.

Sekilas,
Daripada Abu Said, Nabi Muhammad berkata yang bermaksud : "Iblis berkata : 'Wahai Tuhanku, demi kemuliaanmu, aku akan terus menggoda anak cucu Adam selama roh mereka masih berada di tubuh mereka'. Allah menjawab : 'Demi kemuliaan dan keagunganku, aku tetap memberi keampunan kepada mereka selama mereka memohon ampunan kepadaku'."

(Hadis direkodkan oleh Ahmad)              

Setiap Penyakit Ada Ubatnya

Petunjuk nabi dalam kitab Sahih Muslim mengatakan,
"Setiap penyakit pasti ada ubatnya. Jika ubat telah mengenai penyakit, penyakit itu pasti sembuh dengan izin Allah Azza wa Jalla."  ~Direkodkan oleh Muslim

Dalam cerita lain, beliau juga berkata, "Setiap kali Allah menurunkan penyakit, pasti Allah menurunkan ubatnya." ~Direkodkan oleh Ahmad

Keutamaan Sakit dan Orang yang Sakit
~Sakit adalah salah satu bentuk ujian daripada Allah kepada orang beriman. Dengan ujian itu, Allah menghendaki kebaikan kepada diri kita. Nabi Muhammad berkata,
"Jika Allah menghendaki kebaikan kepada seseorang maka, dia akan memberinya ujian." ~Direkodkan oleh Bukhari

Kebaikan itu datang daripada sikap sabar dalam jiwa, tabah menghadapi musibah dan menerima ketentuan Allah. Hakikatnya, semua yang ditentukan Allah adalah yang terbaik.
   
   Sebagai orang beriman, kita tidak seharusnya menyalahkan keadaan. Ini kerana setiap keadaan adalah peluang. Inilah pemikiran yang diajarkan Nabi Muhammad kepada kita melalui kata-kata beliau, "Sungguh menakjubkan keadaan seorang yang beriman, semua urusannya adalah baik. Jika mendapat kebahagiaan ia bersyukur, maka, syukur itu menjadi kebaikan baginya. Demikian pula, apabila ditimpa kesusahan ia bersabar, maka, sabarnya menjadi kebahagiaan baginya." ~Direkodkan oleh Muslim 
  
    Sakit juga adalah jalan bagi Allah mengangkat darjat manusia. Tidak tertusuk duri atau seumpamanya kepada orang Islam, kata nabi dalam laporan Imam Muslim, kecuali ditetapkan baginya satu darjat ataupun dihapuskan satu kesalahan 

   Ini kerana, Allah menetapkan kedudukan yang tinggi di syurga bagi sebahagian manusia. Sekiranya orang itu malas berbuat kebaikan, Allah menimpakan sakit kepadanya supaya dia memperoleh kedudukan yang Allah tentukan baginya. 

   Sakit adalah salah satu bentuk kasih sayang Allah kepada kita. Dengan sakit itu menunjukkan Allah menegur kita. Dia mengingatkan betapa kita adalah hamba yang lemah

   Ramai orang tidak tahu menggunakan kelebihan masa sihat dan lapang dengan melakukan amalan-amalan yang mendekatkan diri kepada Allah. Dua nikmat itu seringkali membuat orang terleka hingga jauh daripada Allah dan lupa tanggungjawab. Maka, bagi menyedarkannya, Allah menimpakan penyakit kepadanya.

   Di hadapan Allah, orang yang sakit bukanlah orang yang hina. Bahkan, orang itu memiliki tempat yang mulia di sisinya. Dalam hadis qudsi yang dilaporkan oleh Imam Muslim disebutkan Allah berkata kepada hamba-hambanya, "Wahai anak Adam, aku sakit, mengapa engkau tidak menziarahiku?". Anak Adam bertanya, "Bagaimana aku menziarahimu, padahal engkau adalah Tuhan semesta alam?" Allah menjawab, "Apakah engkau tidak tahu hambaku si fulan sakit dan engkau tidak menziarahinya? Apakah engkau tidak tahu sekiranya engkau menziarahinya, pasti engkau dapati aku ada disisinya iaitu engkau mendapati pahalaku di sisinya" 

Dalam hadis di atas, Allah menggambarkan sakit kepada dirinya. Ini adalah penghormatan Allah kepada orang yang sakit dan bukti betapa dekatnya Allah kepadanya. Maka, orang sakit perlu berasa bahagia

Friday, December 3, 2010

Sakit Menurut Pandangan Islam

Terdapat dua jenis penyakit iaitu penyakit hati dan jasmani. Penyakit hati terbahagi kepada dua iaitu penyakit syubhat (ragu-ragu) dan syahwat. Dua jenis penyakit hati itu masing-masing dijelaskan Allah dalam surah al-Baqarah, ayat 10 dan surah al-Ahzab, ayat 32.
   Mengenai penyakit syubat Allah berkata,
"Dalam hati mereka ada penyakit, lalu ditambah Allah penyakitnya..." (Surah al-Baqarah ayat 10) dan penyakit syahwat, Allah berkata, "Wahai isteri-isteri Nabi, kamu sekalian tidaklah seperti wanita yang lain, jika kamu bertakwa. Maka, janganlahkamu tunduk dalam berbicara sehingga berkeinginanlah orang yang ada penyakit dalam hatinya..." (Surah al-Ahzab, ayat 32)

Antara perkara yang termasuk dalam penyakit hati adalah iri hati, ghibah, kedekut, riyak, sombong, menyebarkan fitnah, berkata kesat dan sebagainya.
   Manakala jenis penyakit yang kedua iaitu penyakit jasmani. Allah berkata,
"Tidak ada halangan bagi orang buta, tidak (pula) bagi orang tempang, tidak (pula) bagi orang sakit..."  (Surah an-Nur, ayat 61)

Penyakit Hati 
Walau sehebat dan secanggih manapun ubat-ubatan, tidak semua penyakit hati dapat sembuh melalui pengubatannya. Penyakit hati ini hanya dapat sembuh melalui petunjuk para rasul. Ini kerana, ubatnya datang daripada mereka dan ada di tangan mereka. Sekiranya ada anggapan hati mampu baik tanpa petunjuk para rasul, Ibnu Qayyim berkata, mungkin ada yang tidak jelas.
   Maka, kita dapat mengubati penyakit syahwat dengan bersabar dan menahan diri daripada mengikut hawa nafsu. Manakala, kita dapat mengubati syubhat dengan ilmu yang bersumber daripada dua peninggalan Nabi Muhammad iaitu Quran dan Sunnah.

Penyakit Jasmani
Terdapat tiga formula mengubati penyakit jasmani iaitu menjaga kesihatan, menjaga tubuh badan daripada perkara-perkara yang membahayakan dan mengeluarkan bahan-bahan toksik daripada tubuh badan. Terdapat dua kaedah mengubati penyakit jasmani. Pertama, sistem pengubatan yang Allah ilhamkan kepada kita dan juga haiwan. Contohnya, mengubati rasa lapar dengan makan, rasa haus dengan minum dan rasa letih dengan tidur/berehat. Kedua, pengubatan yang memerlukan analisis dan diagnosis. Contohnya, keracunan makanan, penyakit ketumbuhan, tumor dan sebagainya. 

Hendaklah Dijauhi

Berikut di bawah ini dibentangkan beberapa penyebab yang Allah jadikan boleh membawa kesusahan, bukan untuk menakutkan, tetapi sebagai panduan untuk dihindari, sama ada melalui usaha ikhtiar dan doa. Lantaran itu hendaklah dijauhi beberapa perkara seperti berikut :

~Membakar kulit bawang merah atau bawang putih

~Tidur (meniarap)

~Menyapu rumah di waktu malam

~Menyapu (sampah) dengan kain

~Tidak membersihkan rumah (biar bersampah, bersawang dan berjelaga)

~Membasuh tangan dengan tanah (kecuali samak najis mugahllazah) atau bekas tepung

~Membasuh tangan pada bekas tempat makan

~Duduk di atas tangga 

~Bersandar pada salah satu daun pintu

~Berwudhuk di tempat buang air (dalam jamban)

~Menjahit baju yang sedang dipakai

~Mengeringkan muka dengan baju yang sedang dipakai

~Berdiri sambil bercekak pinggang

~Tidur tanpa pakaian (bertelanjang) 

~Makan dalam keadaan junub

~Cepat-cepat keluar dari masjid sesudah solat Subuh

~Pagi-pagi buta pergi ke pasar ; dan

~Pulang terlambat (paling akhir keluar) dari pasar

~Mendoakan yang tidak baik bagi orang tua, anak atau pemimpin

~Tidak suka menutupi bekas (bijana)

~Memadamkan lampu dengan nafas (meniup api)

~Membuang kutu dalam keadaan hidup

~Mencuci kaki dengan tangan kanan

~Kencing pada air yang bertakung

~Memakai seluar sambil duduk

~Memakai serban sambil berdiri

~Mandi junub di tempat kencing atau najis

~Makan dengan dua jari (menyepit)

~Berjalan di antara kambing

~Berjalan di antara dua perempuan

~Berbekam pada hari ketujuh belas

~Terlalu banyak mempermainkan janggut

~Menghubung jejari tangan di sekeliling lutut (mendakap lutut dengan menyela-nyela jejari tangan)

~Meletakkan telapak tangan di hidung

~Memotong kuku dengan gigi

~Membuka aurat di muka matahari atau bulan (di tempat terbuka)

~Buang air kecil atau besar dengan mengadap kiblat

~Menguap di waktu solat

~Berludah dalam jamban atau dalam abu (kebakaran)

~Meletakkan tangan di atas pipi ketika duduk atau bertongkat dagu

Dan yang lebih besar dari yang tersebut di atas adalah : 

~Meremehkan solat

~Meremehkan apa-apa yang terjatuh daripada hidangan (tidak mengutip makanan yang jatuh), ertinya membazir rezeki

~Tidak membaca Bismillah ketika makan

~Banyak makan dan banyak berdusta

~Memakai sandal (kasut) di dahului kiri sebelum yang kanan atau berlainan warna dan saiz

~Makan di atas pinggan yang terbalik atau bijana (bekas makanan dan minuman) yang retak atau kemek

Wallahu 'alam