I made this widget at MyFlashFetish.com.

Monday, February 21, 2011

Isteri-isteri Rasulullah SAW (2)

Bismillahirrahmanirrahim.

4) Hafsah binti Umar
Hafsah ialah anak perempuan Umar bin al-Khattab, khalifah kedua selepas Abu Bakar as-Siddiq. Hafsah pertama kali telah berkahwin Khumais bin Huzaifah, yang gugur syahid dalam peperangan Badar. Beliau dan suaminya adalah orang Muslim yang ikhlas dan telah berhijrah ke Madinah bersama-sama Nabi SAW.

   Tujuan Nabi SAW mengahwini Hafsah adalah untuk merapatkan lagi tali silaturahim dengan salah seorang sahabat baginda yang sangat jujur dan setia, di samping untuk memberi perlindungan dan membantu janda salah seorang sahabat baginda yang gugur di medan perang.
   Semasa Hafsah menjadi balu, beliau baru berusia kira-kira 19 tahun. Bapanya, Umar menawarkan kepada sahabatnya Abu Bakar dan Usman agar mengahwini anaknya itu. Bagaimana pun kedua-duanya menolak kerana sesuatu sebab.

   Umar pergi berjumpa Nabi SAW lalu menceritakan peristiwa itu. Ketika itu Nabi SAW telah pun mengahwini Aisyah dan dengan demikian memberi penghormatan kepada Abu Bakar. Allah SWT bertujuan agar Hafsah juga diberi penghormatan dan diangkat darjatnya. Nabi SAW akhirnya bersetuju dengan cadangan Umar agar baginda berkahwin dengan Hafsah, anaknya. Perkahwinan itu berlaku pada tahun ke 3 Hijrah di masa baginda telah berusia lebih 54 tahun. Perkahwinan ini dipersetujui oleh semua pihak.
5) Zainab binti Khuzaimah

Zainab juga telah dua kali menjadi balu tatkala ia berkahwin dengan Nabi SAW dalam tahun 626 SM. Nabi SAW ketika itu telah berusia 57-58 tahun dan Zainab pula berusia 30 tahun.
   Beliau merupakan seorang wanita yang lembut hatinya dan suka bersedekah kepada fakir miskin. Beliau gemar menghabiskan semua wangnya untuk disedekahkan kepada golongan yang tidak mampu. Oleh yang demikian beliau telah diberi gelaran "Ummu Masakin" iaitu ibu orang-orang miskin.

6) Ummu Salamah binti Suhail
Nama sebenar ialah Hind binti Abu Umayyah Suhail. Ummu Salamah merupakan kuniyyatnya berdasarkan nama anaknya, Salamah. Beliau adalah anak seorang pemimpin kaum Quraisy yang sangat terkenal. Ibunya berasal dari suku yang ternama, iaitu Bani Firas. Beliau dibesarkan dalam kemewahan, dan dididik dalam suasana penuh tradisi mengikut Bani Firas. Beliau dan suaminya telah memeluk Islam di awal permulaan dakwah Nabi SAW, dan telah berhijrah ke Habsyah. Beliau dan suaminya telah mengalami kehidupan yang serba susah demi mempertahankan Islam ketika di Makkah di mana mereka mendapat tekanan yang hebat dari kaum kafir Quraisy. Tidak lama, suaminya meninggal dunia akibat terkena racun tikaman yang dideritainya dalam peperangan Uhud.

   Nabi SAW merasa tersentuh dengan situasi yang dihadapi oleh Ummu Salamah itu. Baginda bercadang untuk menjaga dan melindunginya bersama tiga atau empat orang anaknya, lalu melamarnya. Mengikut adat Arab, baginda boleh menawarnya perlindungan dan nafkah kepada balu ini bersama anak-anak seorang Muslim yang benar yang telah syahid di jalan Allah SWT, dengan cara mengahwininya.

   Sebelum Ummu Salamah menerima lamaran Nabi SAW, beliau telah meletakkan beberapa syarat yang harus diikuti oleh baginda. Beliau mengatakan bahawa beliau adalah seorang yang sensitif, dari keluarga yang terhormat, beliau biasa dengan kemewahan dan kesenangan serta dimanjakan pula oleh suaminya yang terdahulu. Kini beliau tidak mempunyai wang, di samping sudah berumur dan mempunyai anak yang ramai pula. Beliau takut mungkin perkahwinannya dengan Nabi SAW kelak tidak bahagia.

   Namun demikian, Nabi SAW bersedia menerimanya dan tidak akan mengungkit perkara-perkara tersebut. Kemudian, perkahwinan dilangsungkan dengan Nabi mengadakan sedikit jamuan. Jadi, perkahwinan ini dilakukan kerana motif berperikemanusiaan.

7) Zainab binti Jahsy

Perkahwinan Nabi SAW dengan Zainab binti Jahsy telah memberi peluang kepada para penulis Barat untuk mencipta cerita khayalan tentangnya. Zainab ialah anak perempuan kepada Umaimah, iaitu anak Abdul Mutalib dan kakak Abdullah, iaitu bapa Nabi SAW. Oleh yang demikian, Zainab adalah sepupu Nabi SAW. Beliau dianggap seperti adiknya sendiri oleh Nabi SAW dan Nabi telah melihat pertumbuhannya sejak ia masih kecil lagi. Tidak terdapat sebarang hijab di antara mereka berdua. Jika sekiranya Zainab adalah model kecantikkan seorang perempuan seperti yang dikatakan oleh para penulis Barat yang penuh dendam kesumat terhadap Nabi SAW itu, tentulah kecantikkannya telah diketahui oleh Nabi dan jika baginda mahu, sudah tentu telah dikahwininya terlebih dahulu.

No comments:

Post a Comment