Allah Subhaanahu Wataala telah memerintah seorang Malaikat supaya pergi kepada Raja Iblis syaitan alaihi laknat menyuruhkan dia mengadap hadrat Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam mengkhabarkan segala jenis rahsia yang disukainya dan sekalian yang dibencinya. Adapun hikmat yang demikian ini ialah kerana membesarkan ketinggian darjat Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam dan juga supaya menjadi sutu peringatan di atas sekalian kita umat Nabi Muhammad. Maka Malaikat itu pun datanglah ke hadapan Iblis, katanya : "Hai Iblis! Bahawa Tuhan Yang Maha Mulia lagi Maha Besar menyuruhkan engkau mengadap hadrat Rasulullah hendaklah engkau bukakan segala rahsiamu dan apa-apa yang disoal oleh Nabi Muhammad itu hendaklah engkau jawab dengan benar. Jika engkau berdusta walau satu perkataan sekalipun, nescaya diputuskan segala suku-suku daripada anggotamu dan segala uratmu serta disiksakan engkau dengan azab yang amat keras."
Syahadan deni Iblis mendengar perkataan Malaikat itu sangat dahsyat rasanya maka segeralah ianya mengadap hadrat Nabi Muhammad dengan menyerupai seperti seorang tua yang buta sebelah matanya dan berjanggut putih banyaknya 10 helai dan panjangnya seperti ekor lembu serta ianya memberi salam dengan takzimnya hingga 3 kali tidak juga dijawab oleh Rasulullah. Maka sembah Iblis : "Ya Rasulullah! Mengapakah Tuanhamba tidak menjawab akan salam aku kerana bukankah salam itu sangat mulia di sisi Tuhan?"
Maka jawab Nabi dengan marahnya : "Hai 'aduwullah seteru Tuhan! Kepada akukah engkau menunjukkan makarmu! Berpatutanlah muka engkau dengan halmu itu engkau hendak tipu akan daku sebagaimana yang telah engkau tipu Nabi Adam a.s. keluar dari syurga dan Habil mati teraniaya dibunuh oleh Qabil dengan sebab hasutan engkau dan Nabi Allah Ayub a.s. engkau tiup dengan asap racun pada masa ia sedang sujud di dalam solatnya hingga beberapa lamanya ia menanggung sengsara oleh perbuatan engkau. Dan kisah Nabi Daud dengan perempuan pahlawan Urya dan Nabi Sulaiman meninggalkan isterinya lalu engkau menyerupakan seperti isterinya lalu engkau larikan cincinnya ; demikian jua beberapa Anbiya dan pendita-pendita yang telah menanggung sengsara dan aniaya oleh perbuatanmu yang khianat. Hai Iblis! Sebenarnya salam itu sangat mulia pada Tuhan azza wajalla, hanya salam engkau itu sahaja aku tidak hendak menjawab kerana telah diharamkan oleh Tuhan dan engkau ini kena laknat serta ditentukannya engkau dalam nurka yang sangat keras bagi menyiksakannya dirimu, maka aku kenal baik-baik bahawa engkaulah Iblis raja segala syaitan yang menyamarkan diri. Apakah kehendak engkau datang mendapatkan aku ini?"
Maka sembah Iblis : "Ya Nabi Allah! Janganlah tuanhamba marah. Demi sebenarnyalah tuanhamba khatamin nabiyyin walmursaliin dan kekasih Allah Taala maka dapat tuanhamba kenal akan aku. Ya Nabi Allah! Adalah kedatangan aku ke mari ini ialah dengan izin Tuhan jua telah mendatangkan seorang Malaikat menyuruh aku mengadap hadrat tuanhamba supaya tuanhamba tanya apa jua sesuatu hal-ehwal umat-umat tuanhamba sedialah aku khabarkan dengan terusterang daripada segala tipudaya aku di atas sekalian manusia daripada zaman Nabi Adam hingga kepada zaman kemudian daripada tuanhamba iaitu aku goda kepada beberapa banyak simpang dan jalan yang sesat supaya binasa mereka itu dengan tipudaya aku yang amat halus. Ya Nabi Allah! Kiranya aku berdusta barang sepatah kata sekalipun nescaya hancur-leburlah diri aku terbakar menjadi abu."
Syahadan manakala Nabi Muhammad mendengar sembah Raja Iblis dan sumpahnya maka baginda pun tersenyum dengan sukacitanya seraya berkata di hatinya, inilah satu peluang dapat aku menyiasat segala perbuatannya supaya didengar oleh sekalian sahabatku yang hadir di majlis ini dan jua supaya menjadi suatu senjata kepada sekalian umatku hingga kemudian hari kelak.
No comments:
Post a Comment