Petunjuk nabi dalam kitab Sahih Muslim mengatakan,
"Setiap penyakit pasti ada ubatnya. Jika ubat telah mengenai penyakit, penyakit itu pasti sembuh dengan izin Allah Azza wa Jalla." ~Direkodkan oleh MuslimDalam cerita lain, beliau juga berkata, "Setiap kali Allah menurunkan penyakit, pasti Allah menurunkan ubatnya." ~Direkodkan oleh Ahmad
Keutamaan Sakit dan Orang yang Sakit
~Sakit adalah salah satu bentuk ujian daripada Allah kepada orang beriman. Dengan ujian itu, Allah menghendaki kebaikan kepada diri kita. Nabi Muhammad berkata,
"Jika Allah menghendaki kebaikan kepada seseorang maka, dia akan memberinya ujian." ~Direkodkan oleh Bukhari
Kebaikan itu datang daripada sikap sabar dalam jiwa, tabah menghadapi musibah dan menerima ketentuan Allah. Hakikatnya, semua yang ditentukan Allah adalah yang terbaik.
Sebagai orang beriman, kita tidak seharusnya menyalahkan keadaan. Ini kerana setiap keadaan adalah peluang. Inilah pemikiran yang diajarkan Nabi Muhammad kepada kita melalui kata-kata beliau, "Sungguh menakjubkan keadaan seorang yang beriman, semua urusannya adalah baik. Jika mendapat kebahagiaan ia bersyukur, maka, syukur itu menjadi kebaikan baginya. Demikian pula, apabila ditimpa kesusahan ia bersabar, maka, sabarnya menjadi kebahagiaan baginya." ~Direkodkan oleh Muslim
Sakit juga adalah jalan bagi Allah mengangkat darjat manusia. Tidak tertusuk duri atau seumpamanya kepada orang Islam, kata nabi dalam laporan Imam Muslim, kecuali ditetapkan baginya satu darjat ataupun dihapuskan satu kesalahan
Ini kerana, Allah menetapkan kedudukan yang tinggi di syurga bagi sebahagian manusia. Sekiranya orang itu malas berbuat kebaikan, Allah menimpakan sakit kepadanya supaya dia memperoleh kedudukan yang Allah tentukan baginya.
Sakit adalah salah satu bentuk kasih sayang Allah kepada kita. Dengan sakit itu menunjukkan Allah menegur kita. Dia mengingatkan betapa kita adalah hamba yang lemah
Ramai orang tidak tahu menggunakan kelebihan masa sihat dan lapang dengan melakukan amalan-amalan yang mendekatkan diri kepada Allah. Dua nikmat itu seringkali membuat orang terleka hingga jauh daripada Allah dan lupa tanggungjawab. Maka, bagi menyedarkannya, Allah menimpakan penyakit kepadanya.
Di hadapan Allah, orang yang sakit bukanlah orang yang hina. Bahkan, orang itu memiliki tempat yang mulia di sisinya. Dalam hadis qudsi yang dilaporkan oleh Imam Muslim disebutkan Allah berkata kepada hamba-hambanya, "Wahai anak Adam, aku sakit, mengapa engkau tidak menziarahiku?". Anak Adam bertanya, "Bagaimana aku menziarahimu, padahal engkau adalah Tuhan semesta alam?" Allah menjawab, "Apakah engkau tidak tahu hambaku si fulan sakit dan engkau tidak menziarahinya? Apakah engkau tidak tahu sekiranya engkau menziarahinya, pasti engkau dapati aku ada disisinya iaitu engkau mendapati pahalaku di sisinya"
No comments:
Post a Comment