Sesudah Allah menjadikan Adam, Allah menyuruh Azazil dan para malaikat sujud kepada Adam bagi menghormati ciptaannya yang mulia. Tetapi Azazil enggan sujud. Azazil merasakan dirinya lebih mulia daripada Adam kerana ia dijadikan daripada api sedangkan Adam dijadikan daripada tanah. Lantaran kesombongannya itu, Allah marah kepadanya. Allah menghalaunya keluar dari syurga dan mengubah wajahnya kepada rupa hodoh lagi menakutkan. Azazil kemudian digelar iblis, yang membawa maksud suka memberontak atau derhaka.
Iblis kemudian meminta supaya Allah memanjangkan umurnya sehingga hari kiamat, demi menyesatkan seluruh manusia. Allah menceritakan hal ini dalam surah Sad ayat ke-79. Kata iblis, "Wahai Tuhanku. Jika demikian, berilah tempoh kepadaku sehingga ke hari mereka dibangkitkan (hari kiamat)."
Lalu Allah mengizinkannya.
Keturunan Iblis
Menurut Ibnu Qayyim al-Jauziyah, iblis berkembang biak menghasilkan lima jenis keturunan, iaitu :
~Tsabar
Kerjanya menimbulkan keluh-kesah ke dalam hati orang yang ditimpa musibah sehingga orang itu tergamak menyalahkan Tuhan.
~Dasim
Kerjanya menimbulkan rasa cemburu yang melampau ke dalam hati suami dan isteri sehingga mereka bercerai-berai.
~Al-A'war
Kerjanya menghasut manusia supaya berzina. Misalnya, mendorong wanita berpakaian seksi dan mendorong pemuda dan gadis berdua-duaan sehingga timbul keinginan antara kedua-duanya melakukan zina.
~Miswath
Kerjanya membisikkan cerita bohong dan meniup rasa buruk sangka ke dalam hati manusia. Miswath juga menghasut manusia supaya menyebarkan fitnah.
~Zaknabur
Zaknabur menyuntik rasa seronok ke dalam hati manusia berada di pasar dan pusat beli belah. Kesannya, ramai orang suka menghabiskan masa yang lamadi sana, malah sebahagiannya pergi ke sana tanpa sebarang tujuan.
Kejadian Syaitan
Syaitan boleh dianggap sebagai anak pinak ataupun tentera iblis.Syaitan terdiri dalam kalangan jin dan manusia sebagaimana yang Allah beritahu dalam surah an-Nas.
Dalam satu hadis yang direkodkan oleh Ahmad, Nabi Muhammad berkata,
"Wahai Abu Zar, mohonlah perlindungan kepada Allah daripada kejahatan
syaitan manusia dan jin." Kata Abu Zar, "Aku bertanya kepadanya (Nabi
Muhammad), wujudkah syaitan manusia?" Jawab beliau, "Ya."
Dalam surah an-Nas, Allah menggunakan perkataan al-Khannas yang merujuk kepada syaitan daripada kalangan jin dan manusia. Al-Khannas dimaksudkan sebagai pengintip atau pengintai yang sentiasa mencari peluang bagi menyerang seseorang.
Syaitan dalam Diri Manusia
Dalam diri setiap manusia ada daripada golongan jin dan syaitan. Jin ini dipanggil 'qarin' bermaksud teman. Qarin menyerupai fizikal dan perangai teman manusianya. Qarin menjadi teman sejati manusia apabila manusia berpaling daripada ajaran Allah. Allah menjelaskan hal ini dalam al-Quran, surah az-Zukhruf ayat ke-36
Nabi Muhammad turut mempunyai qarin. Walau bagaimanapun, qarin Nabi Muhammad ditundukkan oleh Allah sehingga ia tidak memberi sebarang mudarat kepada beliau. Nabi Muhammad menerangkan hal ini kepada Aisyah,
"Sudah datang kepadamu syaitanmu." Aisyah bertanya, "Wahai Rasulullah,
apakah dalam dirimu ini ada syaitan?"
Nabi Muhammad menjawab, "Ya, benar. Pada diri setiap manusia ada
syaitan penggodanya."
"Bagaimana denganmu?" tanya Aisyah.
Kata Nabi Muhammad, "Pada diriku pun ada syaitan, tetapi Allah sudah
menundukkannya sehingga syaitan itu pun menyerah."
(Hadis sahih direkodkan oleh Muslim)
Para sarjana Islam pernah membincangkan mengenai kehadiran roh-roh atau rasukan roh ke dalam tubuh orang yang hidup. Mereka memberitahu, rasukan bukanlah disebabkan oleh roh-roh orang yang sudah mati, sebaliknya dilakukan oleh qarin si mati. Qarin mampu mempelajari dengan cepat perangai seseorang termasuk nada suara, bahasa dan loghat.
Sesuatu yang diseru dalam permainan ouija board juga bukanlah roh. Roh orang mati berada di alam barzakh dan tidak mampu melakukan apa-apa ke atas orang yang masih hidup.
Fikir-fikirkan,
Allah menyebut berulang-ulang kali kejahatan iblis dan syaitan dalam al-Quran, supaya manusia tidak terpedaya dengan tipu dayanya. Perkataan 'iblis' disebut sebanyak 11 kali, perkataan 'syaitan' sebanyak 70 kali dan 'syayatin' (banyak syaitan) sebanyak 18 kali. Manakala kisah iblis yang derhaka dan enggan sujud kepada Adam disebut pada beberapa tempat dalam al-Quran.
Sekilas,
Daripada Abu Said, Nabi Muhammad berkata yang bermaksud : "Iblis berkata : 'Wahai Tuhanku, demi kemuliaanmu, aku akan terus menggoda anak cucu Adam selama roh mereka masih berada di tubuh mereka'. Allah menjawab : 'Demi kemuliaan dan keagunganku, aku tetap memberi keampunan kepada mereka selama mereka memohon ampunan kepadaku'."
(Hadis direkodkan oleh Ahmad)
No comments:
Post a Comment